Monday 17 December 2012

KITA, KITA PERLUKAN DIA!





Umar al-Mujahid mendengus. Sakit hati menguasai diri. Matanya dijeling ke arah Saifullah, yang dulunya di anggap sahabat rapat, tempat berkongsi suka dan duka. Sekarang Saifullah hanya bergelak ketawa bersama teman-temannya yang baru. Umar masih hilang punca kenapa temannya itu boleh berpaling arah darinya. Mereka terkenal dengan kenakalan di sekolah dahulu. Siapa yang tak kenal mereka. Selalu dipanggil nama semasa berhimpunan, akibat selalu ponteng sekolah dan kelas tambahan.

"Blah lah kau, ingat aku nak sangat kau ke? Berlambak lah orang lain aku boleh cari buat kawan. " Umar berkata perlahan, namun tegas. Tanpa disedari, kata-katanya itu didengari Banna, yang kebetulan melintasi meja Umar, di perpustakaan kolej mereka.

Banna tersenyum melihat Umar. Sejak bertemu Umar semasa pendaftaran kolej kira-kira lima bulan lepas, dia dapat merasakan Umar ada potensi untuk diajak ke arah mencari mardhatillah. Logamnya iaitu tegas, dapat digunakan untuk menyebarkan cinta Allah, bak Umar al-Khattab, sahabat Rasulullah.


'Umar hanya perlu diberi pengisian hatinya dahulu. Hatinya sebenarnya ada sinar-sinar keimanan, tetapi nafsu keduniaan menutup semua kelebihan pada dirinya. ' Hati Banna berkata-kata. Saat itu, dia tekad mendekati Umar, walaupun setiap kali dia dilayan dingin oleh Umar.


"Assalamualaikum ya akhi! " Banna ceria menegur, namun perlahan, sedar mereka di dalam perpustakaan.


Umar tersentak. Sebaik melihat wajah Banna, raut wajahnya terus berubah.

'Aish, dia ni asyik kacau aku je, nak datang bagi ceramah la tu.' Hati Umar berkata sinis, namun jauh disudut hatinya, ada perasaan senang dengan Banna. Sikit aje! Nafsu jahat menghasut Umar.

"Em, waalaikumussalam. " jawab Umar acuh tak acuh. Banna mantain dengan muka cerianya.


"Boleh ana duduk sekali? Meja lain dah penuh." Banna melihat sekeliling. Umar juga. Memang semua meja dah dipenuhi. Banna bersyukur. Bak Allah menolongnya untuk mendekati Umar. Teringat pada ayat 7 daripada surah Muhammad, ayat yang baru ditadabbur bersama ikhwan halaqoh mereka.


"Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." 

"Asif, kalau ana macam menyibuk, tapi tadi ana terdengar anta macam marahkan seseorang? Asif, kalau anta keberatan, tak perlu bercerita. " Banna tak mahu Umar menganggapnya busy body. 


Em, busy je dia ni nak tahu hal aku. Tapi, dia ni kan banyak ilmu, mana dapat idea ke apa. Boleh jela nak cerita kat dia. Lagipun sekarang ni aku takde orang lain dah nak berkongsi cerita. Bagaikan air sungai mengalir laju, pantas dan selancar itulah Umar bercerita tentang apa yang terjadi antara dia dan Saifullah. Banna setia mendengar.


"Em, aku tak heran sebenarnya dia nak berambus ke, aku tak perlukan dia pun. Bukan datang pekdah apa pun kat aku. " Umar mengakhiri ceritanya. Banna kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum.


"Anta dah pernah tanya kat dia kenapa dia berubah? "


"Tak. Malas nak bercerita panjang pulak dengan dia. Aku dah tak perlukan dia lagi. "


Banna diam sejenak. Memikirkan kata-kata paling berhikmah untuk diberikan pada Umar. Ingin diteruskan usaha menarik Umar ke jalan tarbiyah. Ke jalan yang hanya mendambakan keimanan pada Allah Maha Besar.


"Umar, bagi ana, bila sesuatu itu berlaku, ia berbalik pada diri kita sendiri. Kadang-kadang, apa yang berlaku, sebab Allah nak kita tengok balik diri kita. " Banna memulakan.


"Maksudnya?" Umar bertanya.
________________________________________________________




                     


"Em, Allah nak uji anta. Allah buat Saifullah berpaling dari anta. Dan anta cakap tadi, anta dah tak perlukan Saifullah kalau dia dah tak hiraukan anta dan kalau dia dah pergi dari anta. "

Bila nampak wajah Umar makin blur, Banna meneruskan kata. Sedaya mungkin tidak mahu menggores hati Umar.


"Umar, mungkin Allah nak menggambarkan anta bila anta dah tak hiraukan Allah, bagai anta dah tak perlukan Dia. Allah mahu bagi peringatan untuk anta. "


"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, sedangkan Allah, Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), lagi Maha Terpuji. "  Faatir : 15

"Ingatlah Umar, Allah tak perlukan kita. Tapi sebaliknya, kita yang perlukan Dia. Allah tak rugi apa-apa kalau kita tak mengikut perintah Dia, kalau kita sewenang-wenangnya lakukan apa yang dilarangnya. Allah tak rugi kalau kita memilih untuk tidak beriman kepada Dia. Kita yang rugi, kita yang rugi, ya akhi.  Kenapa ana kata begitu? Kenapa kita rugi? "


Umar tidak mampu menjawab.


"Jika Dia mengkehendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru
(untuk menggantikan kamu). Dan demikian itu tidak sukar bagi Allah. " Faatir : 16 & 17

Tenang Banna melantunkan kalam Allah itu. Umar yang mendengar tersentap!


"Ya Umar, seperti yang Allah katakan dalam ayat tersebut, bila-bila masa Allah boleh menggantikan kita dengan mana-mana makhluk yang Dia nak. Buat apa Allah nak simpan kita lagi, andai kalau kita tak buat pun apa yang Allah perintahkan? Malas nak menyebarkan agama Allah, bahkan untuk menyelamatkan diri sendiri daripada azab api neraka pun tak mahu? Apa tujuan kita dicipta di dunia ini? Semata-mata menghias dunia ini sahajakah? Padahal Allah ada mengatakan tentang tujuan kita diciptakan."


"Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaKu" Adzariyat : 56

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.. " Al-Baqarah : 30


"Allah ciptakan setiap manusia di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepadaNya, ya Umar. Adakah kita, sebagai hamba, melaksanakan sepertimana yang Allah suruh? Ataupun hidup kita hanya penuh dengan kelalaian dan hiburan semata-mata? Kita mungkin terlalu leka dengan dunia yang fana ini. Sehingga terlupa apa tujuan kita ada di sini. Kenapa kita wujud di sini. "


"Ia seperti barang yang kita beli. Kalau lama-kelamaan barang tersebut dah tak dapat digunakan sepertimana asalnya, dan dah tak dapat berfungsi dengan baik, tak mungkin kita akan simpan lagi barang tersebut bukan? Kita akan membuangnya kerana ia hanya akan menyemakkan lagi rumah kita. Dan kita akan beli yang baru untuk menggantikannya. Betul kan, wahai Umar? "


Umar terdiam. Kata-kata Banna amat terkesan di hatinya. Perlahan-lahan Umar mengangguk mengiakan kata-kata Banna. Ada mutiara di tubir mata Umar.


"Ingatlah sahabatku. Allah menjadikan Saifullah sebagai petunjukNya kepada anta. Itu peringatan daripada Allah, yang menunjukkan Allah masih mahu memberikan peluang kepada anta untuk kembali sepenuhnya kepada Dia. Ingat, Allah sesaat pun tak perlukan kita. Tapi, kita sangatlah, setiap masa perlukan Dia. Golden chance only knocks once, you know it! " Banna berkata perlahan sambil melemparkan senyuman paling manis kepada Umar. Dalam hatinya berdoa Umar al-Mujahid akan menjadi sehebat Umar al-Khattab yang membakar peluhnya semata-mata mencari keredhaan Allah.


No comments:

Post a Comment